megatlutfi.rahim@kosmo.com.my
PERLIS yang terkenal dengan pokok mempelam harumanis yang bakal mengeluarkan ‘hasilnya’ pada Jun ini secara tiba-tiba popular dengan pokok dokong.
Bukan bercerita mengenai sedapnya buah daripada keluarga langsat itu tetapi wujudnya aktiviti meminum air rebusan daun dokong itu yang dikatakan mempunyai kesan sama seperti air ketum.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Azizah Ahmad mendedahkan, pihaknya menerima maklumat terdapat segelintir rakyat Perlis yang ketagih meminum air rebusan daun dokong sejak awal tahun ini.
“Kita akan melakukan penyelidikan khusus termasuk mengesan individu yang terlibat meminum air rebusan daun dokong. Setakat ini, AADK tidak mempunyai statistik lengkap mengenai perkara itu.
“Namun, saya percaya mereka beralih meminum air daun dokong kerana daun ketum sukar untuk diperolehi sejak akhir-akhir ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah Azizah, kesan mereka yang meminum air daun dokong dikatakan sama seperti daun ketum, antaranya kerap mengantuk, tidak senang duduk dan mengalami cirit-birit.
“Mulanya, mungkin ketagihan air daun dokong semata-mata tetapi akhirnya ketagihan itu boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah lain seperti pil kuda, morfin dan ganja,” katanya.
Tenaga tambahan
Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menggesa AADK Perlis dan polis memantau kegiatan ketagihan meminum air daun dokong yang dikatakan mempunyai kesan sama seperti air ketum.
Azlan berkata, sebelum ini, negeri itu berhadapan dengan masalah ketagihan air ketum tetapi kini beralih kepada air daun dokong.
“Penagih sebenarnya kreatif dan ada sahaja penemuan baharu yang mereka cipta untuk menghilangkan ketagihan.
“Dahulu air ketum tetapi kini air daun dokong, jadi saya meminta pihak berwajib mengambil tindakan yang serius sebelum gejala ketagihan meminum air daun dokong ini menular di Perlis.
“Untuk memperolehinya (daun dokong) agak mudah dan percuma, jadi perlu ada mekanisme untuk mengatasinya secara menyeluruh,” katanya.
Seorang pesawah di negeri ini yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, memberitahu, kegiatan meminum air rebusan daun dokong sebenarnya sudah lama berlaku.
“Kesannya sama seperti air ketum kerana memberi tenaga tambahan selain mengurangkan mengantuk. Saya biasa meminumnya sebelum bekerja di sawah,” katanya.
Bagi Leman (bukan nama sebenar) pula memberitahu, dia tidak pernah meminum atau mencuba air rebusan daun dokong.
Cakoroi
“Kegiatan meminum air ketum sudah biasa tetapi air daun dokong, ini pertama kali saya dengar,” katanya.
Namun, seorang sumber memberitahu, dia khuatir air rebusan daun dokong diubah suai seperti cakoroi iaitu sejenis tonik baru yang dihasilkan daripada campuran air ketum, minuman berkarbonat dan ubat batuk.
“Tabiat meminum cakoroi secara berterusan boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang serta hati selain mengganggu saraf otak,” katanya.
Profesor Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, setakat ini belum ada kajian menyeluruh tentang daun dokong yang dikatakan boleh memberikan kesan ketagihan seperti daun ketum.
Bagaimanapun, beliau yang juga Naib Canselor UPM berkata, daun dokong berkemungkinan mempunyai khasiat lain dalam aspek kesihatan.
Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd. Yunus Pathi pula berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai kewujudan aktiviti ketagihan air rebusan dokong di negara ini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3Ze7C1A8L
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment