Saturday, May 23, 2015

MESYUARAT AGUNG PEMADAM DAERAH BARAT DAYA KALI KE-33



22 Mei 2015 - Mesyuarat Agung PEMADAM Daerah Barat Daya Kali Ke-33 telah diadakan pada jam 3.00 petang bertempat di Bilik Bunga Raya, Tingkat 1, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Setiausaha Kerja PEMADAM Negeri Pulau Pinang, Puan Latiffa Bee Binti Abd Rahman telah merasmikan mesyuarat tersebut.

Mesyuarat telah dimulakan dengan ucapan Timbalan Pengerusi PEMADAM Daerah Barat Daya iaitu Tuan Haji Shabuddin Bin Shaari. Semua Ahli Jawatankuasa yang lama masih dikekalkan dan 2 AJK muka baru dilantik pada Mesyuarat Agung kali ini. Mesyuarat pada tahun ini telah dihadiri seramai lebih 80 orang melibatkan Badan-Badan NGO, Guru Sekolah, Jabatan Kerajaan dan Ahli PEMADAM Daerah Barat Daya.

Fokus utama Mesyuarat Agung kali ini adalah untuk merancang beberapa aktiviti bagi memperkenalkan dan fungsi PEMADAM Daerah Barat Daya kepada Masyakarat Tempatan selain merancang menambah dana kewangan PEMADAM supaya aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan.




Saturday, May 16, 2015

BENGKEL PELAN TINDAKAN PEMADAM PERINGKAT ZON UTARA (PERLIS, KEDAH DAN PULAU PINANG) 2015

Kangar, 14 Mei 2015 (Khamis) : Biro Latihan Dan Penerangan PEMADAM Kebangsaan bekerjasama dengan PEMADAM Negeri Perlis, PEMADAM Negeri Kedah dan PEMADAM Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Bengkel Pelan Tindakan PEMADAM Zon Utara bertempat di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Perlis disini.

Bengkel tersebut disertai seramai lebih 40 orang peserta terdiri daripada wakil setiap dari PEMADAM Daerah Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi, Setiausaha Daerah dan AJK Daerah. Antara PEMADAM Daerah Negeri Pulau Pinang dijemput ialah PEMADAM Daerah Tanjung, PEMADAM Daerah Seberang Perai Utara, PEMADAM Daerah Barat Daya, PEMADAM Daerah Seberang Perai Selatan dan PEMADAM Daerah Seberang Perai Tengah. Tujuan program ini adalah seperti berikut :

* Pemantapan visi dan misi PEMADAM sebagai NGO yang akan mengerakkan jentera program pendidikan pencegahan DADAH bagi semua kumpulan sasar di seluruh ZON UTARA.

* Mengaktifkan peranan Pemegang Jawatan dalam PEMADAM sebagai penggerak dan pemantau program pendidikan pencegahan DADAH serta jagaan lanjutan dalam komuniti.

* Mempertingkatkan kesedaran budaya sukarelawan serta membina imej produktif di kalangan ahli PEMADAM.

MATLAMAT

Menambahbaik pengurusan pentadbiran dalam program PEMADAM


STRATEGI

1) Pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan DADAH
    (Program Teras PEMADAM) berdasarkan Kumpulan Sasar
2) Pembangunan Sumber Manusia PEMADAM
3) Pemantapan Struktur Organisasi PEMADAM
4) Hubungan Strategik Peringkat Kebangsaan Dan Antarabangsa
5) Sumber Kewangan Dan Dana
6) Pemantauan Dan Penilaian

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung PEMADAM Kebangsaan, YB Senator Dato' Mohd. Suhaimi Bin Abdullah (Ahli Dewan Negara). Hadir sama Pengerusi Biro Latihan Dan Penerangan PEMADAM Kebangsaan, Dato' Kaswuri Keman serta para anggota pengurusan tertinggi PEMADAM Kebangsaan.







Sunday, May 10, 2015

HEBAHAN :MESYUARAT AGUNG PEMADAM DAERAH BARAT DAYA KALI KE-33

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Perkara di atas adalah dirujuk.
Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Barat Daya, Pulau Pinang akan mengadakan Mesyuarat Agung PEMADAM Daerah Barat Daya kali yang ke-33. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa PEMADAM Daerah Barat Daya dengan penuh takzimnya menjemput semua ahli untuk menghadiri mesyuarat agung ini yang akan diadakan pada masa dan tarikh berikut :
                  Tarikh   : 22 Mei 2015 [JUMAAT]
                  Masa     : 3.00 petang
                  Tempat : Bilik Bunga Raya, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya, P.Pinang

Sekian, untuk makluman.
"DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT"

Jawatankuasa PEMADAM Daerah Barat Daya
Pulau Pinang



Saturday, May 9, 2015

WASPADA KETAGIHAN AIR DOKONG - KOSMO

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my



PERLIS yang terkenal dengan pokok mempelam harumanis yang bakal mengeluarkan ‘hasilnya’ pada Jun ini secara tiba-tiba popular dengan pokok dokong.
Bukan bercerita mengenai sedapnya buah daripada keluarga langsat itu tetapi wujudnya aktiviti meminum air rebusan daun dokong itu yang dikatakan mempunyai kesan sama seperti air ketum.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Azizah Ahmad mendedahkan, pihaknya menerima maklumat terdapat segelintir rakyat Perlis yang ketagih meminum air rebusan daun dokong sejak awal tahun ini.
“Kita akan melakukan penyelidikan khusus termasuk mengesan individu yang terlibat meminum air rebusan daun dokong. Setakat ini, AADK tidak mempunyai statistik lengkap mengenai perkara itu.
“Namun, saya percaya mereka beralih meminum air daun dokong kerana daun ketum sukar untuk diperolehi sejak akhir-akhir ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah Azizah, kesan mereka yang meminum air daun dokong dikatakan sama seperti daun ketum, antaranya kerap mengantuk, tidak senang duduk dan mengalami cirit-birit.
“Mulanya, mungkin ketagihan air daun dokong semata-mata tetapi akhirnya ketagihan itu boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah lain seperti pil kuda, morfin dan ganja,” katanya.
Tenaga tambahan
Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menggesa AADK Perlis dan polis memantau kegiatan ketagihan meminum air daun dokong yang dikatakan mempunyai kesan sama seperti air ketum.
Azlan berkata, sebelum ini, negeri itu berhadapan dengan masalah ketagihan air ketum tetapi kini beralih kepada air daun dokong.
“Penagih sebenarnya kreatif dan ada sahaja penemuan baharu yang mereka cipta untuk menghilangkan ketagihan.
“Dahulu air ketum tetapi kini air daun dokong, jadi saya meminta pihak berwajib mengambil tindakan yang serius sebelum gejala ketagihan meminum air daun dokong ini menular di Perlis.
“Untuk memperolehinya (daun dokong) agak mudah dan percuma, jadi perlu ada mekanisme untuk mengatasinya secara menyeluruh,” katanya.
Seorang pesawah di negeri ini yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, memberitahu, kegiatan meminum air rebusan daun dokong sebenarnya sudah lama berlaku.
“Kesannya sama seperti air ketum kerana memberi tenaga tambahan selain mengurangkan mengantuk. Saya biasa meminumnya sebelum bekerja di sawah,” katanya.
Bagi Leman (bukan nama sebenar) pula memberitahu, dia tidak pernah meminum atau mencuba air rebusan daun dokong.

Cakoroi
“Kegiatan meminum air ketum sudah biasa tetapi air daun dokong, ini pertama kali saya dengar,” katanya.
Namun, seorang sumber memberitahu, dia khuatir air rebusan daun dokong diubah suai seperti cakoroi iaitu sejenis tonik baru yang dihasilkan daripada campuran air ketum, minuman berkarbonat dan ubat batuk.
“Tabiat meminum cakoroi secara berterusan boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang serta hati selain mengganggu saraf otak,” katanya.
Profesor Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, setakat ini belum ada kajian menyeluruh tentang daun dokong yang dikatakan boleh memberikan kesan ketagihan seperti daun ketum.
Bagaimanapun, beliau yang juga Naib Canselor UPM berkata, daun dokong berkemungkinan mempunyai khasiat lain dalam aspek kesihatan.
Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd. Yunus Pathi pula berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai kewujudan aktiviti ketagihan air rebusan dokong di negara ini.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3Ze7C1A8L 
Hakcipta terpelihara 






Friday, May 1, 2015

PROGRAM FAMILY ON ALERT

                PROGRAM FAMILY ON ALERT

Program Family On Alert atau FOA telah diadakan pada 19.04.2015 bersamaan dengan hari ahad di Perkarangan Perpustakaan Desa Titi Teras, Balik Pulau dengan kerjasama pihak AADK Daerah Barat Daya, YaPEIM dan Perpustakaan Desa Titi Teras sendiri.
Diantara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan dan kemahiran berkenaan cara gaya keibubapaan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa mengenai remaja masa kini disamping memberi kemahiran komunikasi untuk membina hubungan yang erat di dalam institusi keluarga.