Assalamu’alaikum W.B.T
Saya serta Jawatankuasa PEMADAM Daerah Barat Daya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh Penjawat Awam yang beragama Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
Mudah-mudahan sambutan Hari Raya pada tahun ini benar-benar bermakna kepada kita semua, terutamanya bagi mereka yang dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan jayanya.
Kita patut bersyukur kerana dapat merayakan saat kejayaan ini dalam suasana aman dan damai tanpa adanya peperangan, kelaparan, ketakutan dan kesedihan.
Keadaan ini berbeza sekali dengan nasib sesetengah umat Islam di negara-negara lain yang merayakan Hari Raya ini dalam serba kekurangan. Sesetengah mereka berhari raya dalam ketakutan kerana peperangan.
Suasana ini tidak berlaku di negara kita. Al-hamdulillah. Semuanya berhari raya dalam suasana gembira dan ceria. Tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan berhari raya dalam keadaan ketakutan. Oleh kerana itu, kita patut bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan bumi Malaysia ini dengan segala kemakmuran, kekayaan alam semula jadi dan keamanan penduduknya. Justeru, kita perlu mengekalkan suasana yang sedia ada. Semua ini penting bagi menjamin negara kita terus makmur dan mendapat keredhaan Allah.
Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan bagi pihak PEMADAM Daerah Barat Daya di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku sepanjang melaksanakan tanggungjawab,menguruskan PEMADAM Daerah Barat Daya. Maaf zahir dan batin. Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu.