Thursday, July 23, 2015

STING Bongkar Makmal, Rampas Dadah RM1.5 Juta Di Pulau Pinang


GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Polis merampas kira-kira 26 kilogram heroin dan 0.6 kilogram syabu bernilai lebih RM1.5 juta serta menahan lima lelaki dalam tiga serbuan di Bayan Lepas dan Butterworth, dekat sini Selasa lepas.

Operasi Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) dengan kerjasama Jabatan Narkotik Pulau Pinang dari pukul 9.30 pagi hingga 10.45 malam itu turut membongkar sebuah makmal memproses dadah di Bayan Lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kelima-lima lelaki yang ditahan itu berumur antara 27 dan 53 tahun dengan tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah dan narkotik.

"Dalam serbuan pertama pada pukul 9.30 pagi di sebuah rumah di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas, polis merampas dadah jenis syabu dan heroin, serbuk kafein, bahan kimia serta peralatan memproses dadah selepas menahan seorang lelaki.

"Empat lagi lelaki ditahan dalam dua serbuan antara pukul 12.20 tengah hari dan 10.45 malam di kawasan Bayan Lepas dan Butterworth," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata kesemua lelaki terbabit juga dipercayai anggota kongsi gelap Gang O4 dan Sio Sam Ong.

Abdul Rahim berkata polis turut menyita empat kereta, sebuah motosikal, wang tunai, barangan kemas dan jam tangan berjenama yang kesemuanya bernilai kira-kira RM1.42 juta.

"Siasatan awal polis mendapati dadah yang diproses itu adalah untuk kegunaan tempatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata dari Januari hingga 22 Julai lepas, polis Pulau Pinang berjaya membongkar 10 makmal memproses dadah di negeri ini dan menahan 31 orang dengan nilai rampasan dadah mencecah RM7.4 juta.

-- BERNAMA




Monday, July 13, 2015

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

UCAPAN JAWATANKUASA PEMADAM DAERAH BARAT DAYA 

         


Assalamu’alaikum W.B.T 

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan tahun ini akan melabuhkan tirainya dan saya selaku Ahli Jawatankuasa PEMADAM Daerah dan seluruh Jawatankuasa PEMADAM Daerah Barat Daya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AIDILFITRI

Saya serta Jawatankuasa PEMADAM Daerah Barat Daya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh Penjawat Awam yang beragama Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Mudah-mudahan sambutan Hari Raya pada tahun ini benar-benar bermakna kepada kita semua, terutamanya bagi mereka yang dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan jayanya.

Kita patut bersyukur kerana dapat merayakan saat kejayaan ini dalam suasana aman dan damai tanpa adanya peperangan, kelaparan, ketakutan dan kesedihan.

Keadaan ini berbeza sekali dengan nasib sesetengah umat Islam di negara-negara lain yang merayakan Hari Raya ini dalam serba kekurangan. Sesetengah mereka berhari raya dalam ketakutan kerana peperangan.

Suasana ini tidak berlaku di negara kita. Al-hamdulillah. Semuanya berhari raya dalam suasana gembira dan ceria. Tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan berhari raya dalam keadaan ketakutan. Oleh kerana itu, kita patut bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan bumi Malaysia ini dengan segala kemakmuran, kekayaan alam semula jadi dan keamanan penduduknya. Justeru, kita perlu mengekalkan suasana yang sedia ada. Semua ini penting bagi menjamin negara kita terus makmur dan mendapat keredhaan Allah.

Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan bagi pihak PEMADAM Daerah Barat Daya di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku sepanjang melaksanakan tanggungjawab,menguruskan PEMADAM Daerah Barat Daya. Maaf zahir dan batin. Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu. 



Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri